Sign In

SME Latest News & Coverage

Assisting entrepreneurs making business decisions
Situasi Kapasiti Hospital Terkini Membimbangkan

Situasi Kapasiti Hospital Terkini Membimbangkan

KKM ingin memaklumkan bahawa jumlah purata kes baharu harian selama tujuh (7) hari (30 Jun 2021 hingga 6 Julai 2021) adalah sebanyak 6,539 kes. Ini didapati masih tinggi berbanding nilai ambang PPN iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk). Nilai ambang 4,000 kes baharu harian ini adalah ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa. Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sarawak, dan Pahang.

Lebih membimbangkan lagi, tren kemasukan kes-kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi. Ianya tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 Jun 2021 hingga 12 Jun 2021) hingga kini, di mana jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus. Pada masa yang sama, petugas barisan hadapan (Perubatan dan Kesihatan) mengalami gelaja burnout kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID-19 untuk tempoh yang kian berlarutan.

Graf 1: Jumlah kes berkaitan COVID-19 yang dimasukkan ke ICU bagi tahun 2021

Sehingga kini, empat (4) negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital di negeri tersebut (> 38 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk) adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Wilayah Persekutuan Labuan. Kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh (7) hari kebelakangan ini. Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku.

Jadual 1: Status purata kes tujuh (7) hari kebelakangan di seluruh negara

KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan. Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah:

  • Penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai Full COVID-19 Hospital, misalnya Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia;
  • Meningkatkan lagi kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5;
  • Memindahkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar;
  • Mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COVID-19;
  • Menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19;
  • Menambah kapasiti katil-katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19;
  • Cadangan menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital COVID-19;
  • Bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 di katil wad biasa dan di katil ICU;
  • Menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta; dan
  • Memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan dari negeri-negeri PPN Fasa 2 ke negeri-negeri kritikal bagi tujuan rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti mengawal wabak COVID-19 dan vaksinasi.

Negeri-negeri yang telah beralih ke Fasa 2 dinasihatkan untuk terus mengamalkan kepatuhan yang penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan bagi memastikan situasi di negeri-negeri tersebut dapat terus pulih dan beralih ke fasa seterusnya bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor kesihatan, ekonomi, dan sosial.

Pada masa yang sama, KKM menggalakkan semua negeri untuk terus menjalin dan menggandakan kerjasama antara semua pihak dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negeri masing-masing.

Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *